KEJUJURAN adalah tanda bukti keimanan. Orang mukmin pasti jujur. Kalau tidak
jujur, keimanannya sedang diserang penyakit munafik.
Suatu ketika seorang sahabat
bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah mungkin seorang mukmin itu kedekut?”
Baginda menjawab: “Mungkin saja.”
Sahabat bertanya lagi: “Apakah mungkin seorang mukmin bersifat pengecut?”
Rasulullah SAW menjawab: “Mungkin saja.” Sahabat bertanya lagi: “Apakah mungkin
seorang mukmin berdusta?” Rasulullah SAW menjawab: “Tidak.” (HR Imam Malik
dalam kitab Al-Muwaththa’)
Apa yang boleh dipelajari daripada
hadis ini ialah seorang mukmin tidak mungkin melakukan pembohongan.
Kejujuran adalah pangkal semua
perbuatan baik manusia. Tidak ada perbuatan dan ucapan baik kecuali kejujuran.
Oleh sebab itu, Allah menyuruh
orang-orang mukmin agar selalu berkata benar dan berlaku jujur. Ini diperintah
oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman,
bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang jujur dan benar.
(al-Ahzab: 70)
Rasulullah SAW bersabda:
“Kamu semua wajib bersikap jujur
kerana kejujuran akan membawa kepada kebaikan dan kebaikan akan membawa kepada
syurga”. (HR Ahmad, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Hibban)
Kejujuranlah yang menjadikan Ka’b
bin Malik mendapat keampunan langsung dari langit sebagaimana Allah jelaskan
dalam surah at-Taubah. Kejujuranlah yang menyelamatkan bahtera kebahagiaan
keluarga dan kejujuran pulalah yang menyelamatkan seorang Muslim daripada seksa
api neraka di kemudian hari.
Kejujuran adalah tiang agama, sendi
akhlak, dan pokok kemanusiaan manusia. Tanpa kejujuran, agama tidak lengkap,
akhlak tidak sempurna, dan seorang manusia tidak sempurna menjadi manusia.
Di sinilah pentingnya kejujuran bagi
kehidupan. Rasulullah SAW bersabda:
“Tetap berpegang eratlah pada
kejujuran. Walau kamu seakan-akan melihat kehancuran dalam berpegang teguh pada
kejujuran, tapi yakinlah bahwa di dalam kejujuran itu terdapat keselamatan.”
(HR Abu Dunya)
Ada tiga tingkatan kejujuran :
- Pertama,
kejujuran dalam ucapan, iaitu kesesuaian ucapan dengan realiti.
- Kedua,
kejujuran dalam perbuatan, iaitu kesesuaian antara ucapan dan perbuatan.
- Ketiga,
kejujuran dalam niat, iaitu kejujuran tertinggi di mana ucapan dan
perbuatan semuanya hanya untuk Allah.
Seorang mukmin tidak cukup hanya
jujur dalam ucapan dan perbuatan, tapi harus jujur dalam niat sehingga semua
ucapan, perbuatan, tindakan dan keputusan harus berlandaskan mencari keredaan
Allah.
Jelaslah kejujuran memainkan peranan
penting dalam kehidupan seorang Islam yang ingin mencari kebahagiaan di dunia
dan akhirat.
Seorang yang jujur tidak akan
berdolak-dalik apatah lagi bermain kata-kata apabila berhadapan dengan sesuatu
perkara. Jika dia berada di pihak yang benar
sudah pasti dia tidak akan takut untuk menzahirkan kejujuran atas keyakinan
bahawa kebenaran pasti mengalahkan kebatilan.
Kejujuran inilah yang mendorong Umar
Ibnul-Khattab memiliki tanggung jawab luar biasa dalam memerintah khilafah
Islamiyah sehingga pernah berkata, “Seandainya ada seekor keledai terperosok di
Baghdad (padahal beliau berada di Madinah), pasti Umar akan ditanya kelak:
“Mengapa tidak kau ratakan jalan untuknya?”
Bangsa yang tak henti-hentinya
diterpa musibah dan krisis sangat memerlukan manusia-manusia jujur, baik dalam
ucapan, perbuatan, mahupun niat.
Sumber: Materi Halaqah
Sumber: Materi Halaqah
Tidak ada komentar:
Posting Komentar